saya tersepit kat belakang
HIBURAN
RTM realisasi impian anak Malaysia
SEMUA orang mempunyai impian sendiri. Adakala impian itu hanya angan-angan kosong dan ada juga yang menjadi kenyataan. Impian yang menjadi kenyataan biasanya akan membuatkan seseorang tidak dapat melupakan kenangan manis tersebut.
Bagai memahami impian jutaan manusia di seluruh Malaysia, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dengan kerjasama Pos Malaysia telah menjalankan program terbaru yang diberi judul Impian 1Malaysia.
Menariknya, Impian 1Malaysia bukan dicedok atau cuba dibayangi program realiti hiburan yang sedia ada. Sebaliknya, RTM memilih untuk mewujudkan sebuah program realiti yang merealisasikan impian masyarakat yang cenderung untuk menikmati perpaduan dalam Malaysia.
Ia membuka peluang kepada sesiapa yang bertuah sekali gus akan merealisasikan impian peserta menerusi pengembaraan mendekati masyarakat selain memberi penekanan dan pendekatan kepada kepelbagaian suku kaum yang terdapat di Malaysia.
Menurut Ketua Pengarah RTM, Datuk Ibrahim Yahaya, program itu dilihat akan menjadi satu landasan dalam usaha mendekatkan generasi muda mengenali dan memahami asal-usul, budaya dan kehidupan pelbagai etnik di negara ini. Ia juga sebagai usaha menyahut Gagasan IMalaysia.
Katanya lagi, program ini juga memberi ruang kepada rakyat Malaysia mentafsir, mendefinisi serta menghayati konsep 1Malaysia mengikut acuan serta panduan yang diberi dengan lebih terperinci.
"Dengan menggunakan tagline Sejuta Impian, Sejuta Tafsiran dalam Impian 1Malaysia, program ini mula disiarkan pada 10 Ogos pukul 9.30 malam menerusi TV1.
"Ia seterusnya akan disiarkan selama tiga bulan dengan pelbagai paparan yang menarik. Antaranya ia memuatkan dua episod diari yang akan mengimbas kembali semua episod impian yang telah direalisasikan.
"Setiap pemegang impian yang berjaya melalui suka duka kembara yang diimpikan," katanya ketika sidang akhbar di Wisma TV Angkasapuri RTM baru baru ini yang turut dihadiri Pengurus Kanan Komunikasi Korporat Pos Malaysia, Yazli Muhamad Saleh.
Sementara itu, seramai 10 peserta telah terpilih untuk menyertai program julung kali itu dengan latar impian yang berbeza untuk direalisasikan.
Mereka adalah Nurzulayla Hamidan yang mahu menyelami cara hidup etnik masyarakat Kadazan Dusun di Kampung Kiau Nuluh, Kundasang, Sabah, Farah Lydia Mokhtar, yang akan menghayati dan mempelajari keunikan tarian makyong di Kampung Besut, Terengganu dan Donny Thomas, pemuda kelahiran Sabah yang mahu menyelami kehidupan orang di Semenanjung Malaysia iaitu di Kampung Air Banun, Tasik Banding, Perak.
Antara peserta lain termasuk Azrol Johan yang mahu menjadi sukarelawan di rumah warga tua dan akan memberi khidmat sosial tersebut di Rumah Warga Tua Pulau Pinang, Hassan Suliman pula memegang impian ingin melihat cara hidup warga Kuala Lumpur.
Gadis keturunan India Teng Swee Kim mahu mempelajari bahasa dan budaya orang Jawa di Batu Pahat, Johor, Siti Sarah Lee (mengenali cara hidup di Kampung Pulau Keladi, Pekan Pahang), Nor Yazmin Nordin (ingin mempelajari seni mempertahankan diri masyarakat cina), Yogaraj Viyakumar (tinggal lima hari bersama etnik Penan) dan gadis Sarawak, Norhafeeza Ali yang ingin tinggal bersama keluarga Baba & Nyonya di Melaka.
Apa yang menariknya dalam program ini adalah penonton RTM akan turut berpeluang memilih tiga impian terbaik daripada 10 impian yang telah direalisasikan dengan menghantar sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) di mana pemarkahan dibuat berdasarkan juri awam (50 peratus) dan juri khas (50 peratus).
Tiga pemenang terbaik akan membawa pulang hadiah keseluruhan RM30,000. Program itu dikendalikan dua pengacara iaitu Qushairi Razali (Qi) dan Nur Izzati Abul 'As.
No comments:
Post a Comment