Tuesday, November 3, 2009

Pelancaran Program TV Anakku Gemilang - Berita Harian Isnin 22 Disember 2008

Program lahirkan kanak-kanak cemerlang
Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my



ROSMAH menyampaikan cek tajaan daripada Felda Holdings Berhad
kepada Abdul Rahman sambil disaksikan isteri Menteri Penerangan,
Toh Puan Che Sharifah Ismail selepas melancarkan program
Anakku Gemilang.


Anakku Gemilang di RTM1 mampu mencetuskan generasi masa depan yang hebat

KANAK-KANAK yang menggalas peranan mencorakkan masa depan negara perlu diberi pendedahan dengan contoh terbaik bukan saja daripada ibu bapa dan rakan sekeliling tetapi juga menerusi rancangan interaktif yang membuka minda.

RTM1 sebagai badan penyiaran yang mengutamakan penyebaran maklumat dan khidmat sosial turut memainkan peranan proaktif dengan memperkenalkan program Anakku Gemilang.

Program 13 episod yang memulakan siaran sejak 23 November lalu itu adalah kesinambungan daripada penerbitan Setiap Anak Permata Negara yang menemui penonton dari Mac hingga Jun 2007.

Menerima sokongan daripada Yayasan Harapan Kanak-Kanak Malaysia (YHKM), Anakku Gemilang yang juga kerjasama antara dua badan itu di bawah projek Pembangunan Media Harapan YHKM menekankan teknik serta strategi pendidikan sebagai teras melahirkan anak berjiwa cemerlang.

Ditangani Syazariah Majidi dari Unit Pembangunan dan Pertanian TV, Anakku Gemilang mengandungi empat segmen utama merangkumi aspek asuhan dan didikan awal kanak-kanak, personaliti gemilang, kisah kejayaan personaliti terkemuka serta pandangan serta nasihat mereka yang mengecapi kejayaan.

Digerakkan dengan format wawancara, isi kandungannya yang komprehensif serta cara persembahan yang dipelbagaikan mampu menarik penonton lapisan umur.

Musim terbaru program itu disempurnakan pelancarannya oleh isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor yang diadakan di Balai Perdana, Wisma TV, Angkasapuri, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Turut hadir pada acara itu Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Abdul Rahman Hamid, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Berhad, Tan Sri Ahmad Kama Piah Che Othman dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Felda, Dr Ismail Saad.

Rosmah dalam ucapannya berharap, Anakku Gemilang mampu membenihkan budaya kegemilangan dan kecemerlangan di kalangan masyarakat Malaysia.

Katanya, kegemilangan negara bergantung kepada tahap kemampuan anak bangsa menghayati serta mempraktikkan budaya kecemerlangan dalam setiap aspek kehidupan mereka.

“Paparan anak tempatan yang meraih kegemilangan dalam pelbagai bidang juga dijangka membakar semangat penonton kanak-kanak untuk berusaha mencapai kecemerlangan seperti mereka.

“Selain itu, saya juga menyeru kegemilangan anak-anak kurang upaya turut diberikan tumpuan untuk menyuntik rangsangan bahawa kecacatan bukan penghalang menggapai kejayaan,” katanya.

Rosmah juga turut meminta RTM dan YHKM mencari inisiatif memperbanyakkan rancangan televisyen membabitkan kanak-kanak termasuk merealisasikan pertandingan Pidato Kanak-Kanak Malaysia menjadi satu program realiti bermutu dan berilmu.

“Aktiviti tahunan anjuran YHKM seperti Pertandingan Pidato Kanak-Kanak Malaysia bagi merebut Piala Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berjaya melahirkan pemidato hebat di kalangan kanak-kanak di seluruh negara.

“Menerusi jalinan hubungan strategik dengan RTM secara tidak langsung membuktikan stesen ini sentiasa meletakkan kepentingan masyarakat dan pembangunan sosio-ekonomi sebagai satu tunjang kekuatan mereka,” katanya.

Anakku Gemilang dihoskan Atikah Adom turut mendapat sokongan daripada Permodalan Nasional Berhad dan Yayasan Felda sebagai penaja.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, RTM percaya Anakku Gemilang mampu memberi kesedaran akan kepentingan pembangunan minda generasi muda untuk melahirkan masyarakat yang gemilang, cemerlang dan terbilang.

“Dengan aspek penerbitan rancangan yang kreatif dan interaktif, saya percaya program ini mampu menarik perhatian penonton malah menyumbang kepada usaha melahirkan modal insan gemilang,” katanya.

No comments:

Post a Comment